MALAM
baru menjengah. Jam di dinding baru menunjukkan 8.00 malam. Suasana Kolej
Kediaman di Universiti Malaya selalunya meriah dengan pelajar-pelajar yang
belajar ramai-ramai di dewan terbuka. Ada juga yang hanya belajar di bilik.
Atau mungkin melayar internet sahaja berbanding menelaah buku. Di penjuru
katil, Zubir menyandar di dinding, acap kali termenung. Tidak tahu apa yang
dimenungkan. Terkadang sering kali juga menungannya diselit dengan angan
seumpama angannya Mat Jenin. Dia mengenang kenangan bersama emaknya yang dia
tinggalkan semasa dia berumur 11 tahun kerana mengikut untuk tinggal bersama
abah. Walaupun jarak antara rumah emak dan abah hanya dibezakan dengan satu
pekan iaitu Taiping dan Kamunting, tetapi sukar bagi Zubir untuk menjenguk emak
kerana sikap abah yang panas baran dan abah perlukan anaknya membantu berniaga
menjual kuih pau di Stesen Keretapi Taiping.
Dulu, pada awal Zubir tinggal
bersama abah, sikap abah sangat berbeza. Abah lembut dengan Zubir mungkin sebab
Zubir baru berumur 11 tahun. Bermula dari situ jugalah hidup Zubir terumbang
ambing. Ketika dia memasuki darjah enam, dia pindah sekolah ke Sekolah Kebangsaan
Kampung Jambu. Walaupun Zubir di sekolah lamanya antara murid yang pintar,
tetapi di sekolah barunya ini, dia ditempatkan di kelas yang paling belakang.
Sedikit pun, dia tidak berkecil hati, malah dia buktikan terus-terusan mencapai
kejayaannya berbeza dengan murid-murid lain di kelas itu. Ada yang cemburu, ada
juga yang tertarik untuk belajar bersama. Usaha Zubir yang tak pernah putus
membuahkan hasil apabila dia berjaya dalam peperiksaan UPSR-nya. Keputusan
peperiksaan itu membolehkan Zubir memasuki sekolah berasrama dan masuk ke kelas
Rancangan Khas iaitu kelas yang dikhaskan untuk pelajar-pelajar cemerlang.
“Abah,
abah... Zubir diterima masuk sekolah berasrama,... sekolah K.E” dengan
gembiranya Zubir bercerita kepada abah.
“Sekolah
K.E.?” pendek sahaja abah bertanya.
“Sekolah
Menengah Kebangsaan King Edward Taiping”. Panjang Zubir menerangkan.
Sebenarnya, kala abah mendengar
sekolah berasrama itu sendiri reaksi abah sangat berbeza dengan apa yang
diharapkan Zubir. Setelah berbincang dengan abah, Zubir hanya masuk ke sekolah
itu sebagai pelajar menengah harian yang tidak tinggal di asrama. Alasan abah
kerana nanti tiada siapa yang nak tolong abah jadi tukang kira harga jualan kuih
pau. Ya, Zubir sedar, abah kurang mahir dalam menghitung. Demi abah dan mencari
wang saku, Zubir turutkan sahaja. Kadang, sehingga jam 4 pagi dia menjaja di
stesen keretapi tersebut. Habis menjaja, Zubir tidur di dalam van jualan pau
sementara menanti waktu untuk ke sekolah. Begitulah rutin hariannya ketika
sekolah menengah. Paginya ke sekolah, petangnya menjaja. Kerja sekolah dibuat
sambil-sambil dia berniaga. Zubir tekun dalam kerjanya dan pelajarannya.
Pelanggan yang datang membeli kuih pau disitu, kadang ada yang memuji kerajinan
Zubir.
“Bagusnya
adik ni... sambil-sambil berniaga sambil buat kerja sekolah.” Tegur pelanggan
yang singgah di gerai jajaannya.
Zubir hanya berterima kasih dengan
pujian itu, terkadang hanya mampu senyum. Ketekunan Zubir membawa kejayaan
dalam PMR-nya. Apabila masuk ke tingkatan empat, dia mengambil aliran sains
kerana minatnya dalam biologi. Tetapi di kala itu pula, Zubir yang dulunya
rajin dan tekun mula berubah perlahan-lahan. Mungkin kerana jiwa remajanya yang
memberontak kerana faktor sikap abah yang juga berubah panas baran. seringkali
abah marah dan melemparkan kata kesat kepada Zubir apabila ada sedikit saja
salah yang Zubir lakukan. Zubir sudah imun dengan marah abah. Zubir seringkali
tidur dalam kelas, terutamanya kelas kimia. Prestasinya merosot, kadang dia
dipanggil berjumpa guru kauseling kerana perubahannya akan menjejaskan masa
depan dan biasiswa yang diterimanya. Apabila dia masuk ke tingkatan lima, ada
satu hal yang besar Zubir timbulkan. Zubir telah meninggalkan abah dan pulang
untuk tinggal bersama emak. Entah bagaimana, Zubir turut pindah sekolah masuk
ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kamunting. Sekolah yang dikatakan teruk dan
mempunyai banyak rekod buruk. Tetapi jiwa Zubir yang memberontak ketika itu,
langsung tidak mengendah kesan tingkahnya. Apa yang penting dia dapat lari dari
abah.
Zubir di sekolah barunya juga
mengalami masalah kerana ada sahaja pelajar lain yang membuli dan mencari gaduh
dengannya. Tapi lebih berat lagi, abah telah membuat laporan dan mengambil
tindakan mahkamah untuk hak penjagaan Zubir. Lalu atas perintah mahkamah Zubir
perlu pindah semula ke sekolah asalnya iaitu SMK King Edward. Ketika itu,
hidupnya sudah tidak tentu hala. Tidak nampak dimana tujuannya. Bayangkan,
Zubir pindah sekolah pada bulan Mac dan bersekolah selama empat bulan dan terpaksa
pindah semula ke sekolah asal. Dia tidak ada tujuan. Hendak mendaftar sebagai
calon SPM pun menjadi kucar. Selepas perbincangan dengan Pejabat Pendidikan
Daerah, (PPD), Zubir ditempatkan sebagai calon menumpang di sekolah asalnya.
Ketika itu juga, abah telah membenarkan Zubir tinggal di asrama. Hiduplah dia
di asrama sebagai pelajar bermasalah yang perlu dibentuk semula walaupun hanya
beberapa bulan sahaja lagi yang tinggal sebelum peperiksaan SPM. Ketika
peperiksaan berlangsung, Zubir dapat menjangka yang pada kali ini, dia tidak
akan menjadi pelajar yang terbaik. Sememangnya benar jangkaan Zubir. Apalah
yang diharapkan jika dia terumbang ambing sedemikan rupa. Putus asa. Zubir
membawa diri ke Kuala Lumpur, (KL), mencari kerja. Di KL, Zubir tinggal bersama
makciknya di Taman Indah Perdana, Kepong dan mula berkerja di pasaraya 24 jam 7-Eleven. Kerja di sini sememangnya
lumayan bagi seorang bujang yang tidak tahu masa depannya. Tetapi oleh kerana
pekerja 7-Eleven selalu bertukar-tukar
dan tidak tetap, ia mendorong kepada kekurangan pekerja dan Zubir kadangkala
terpaksa berkerja sepanjang 24 jam tanpa pertukaran shift.
“Zubir,
ini surat amaran pertama untuk awak. Awak tahukan, semasa berkerja, pekerja tak
boleh tidur, CCTV ni merakam awak tidur semasa berkerja. Lepas ni saya tak nak
lihat lagi ada rakaman awak tertidur semasa berkerja.” Panjang Lebar Zubir di
leteri oleh pengurus cawangan 7-Eleven.
Memang
benar kerja 7-Eleven meletihkan terutama apabila tidak ada pekerja yang
menggantikan Zubir. Bagaimanalah dia tidak tertidur, apabila dia sendiri
keletihan kerana terpaksa berkerja seharian tanpa berhenti. Seringkali Zubir
mencebik tetapi tidak mampu untuk berkata di depan pengurus cawangan tersebut.
Mungkin kerana perbezaan pangkat. Dia tidak berani untuk bersuara secara muka
ke muka.
Selepas tiga bulan berkerja di 7-Eleven, Zubir pulang semula ke
kampung, berhenti tanpa memberikan notis berhenti kerja, Akibatnya nama dia di
senarai hitam dari mana-mana cawangan 7-Eleven.
Namun kepulangan Zubir bukanlah secara sengaja, tetapi setelah menerima
panggilan talifon daripada emak.
“Zubir,
baliklah kampung, kau dapat tawaran untuk sambung ke tingkatan enam” beritahu
emak.
Berita emak sedikit mengejutkan
Zubir. Tidak sekalipun dia mengharap untuk sambung belajar. Apatah lagi,
melihatkan keputusan peperiksaan SPM-nya dahulu yang teruk. Namun berita itu
sedikit sebanyak menguntumkan perasaan gembira dihatinya. Dengan kata lain, dia
masih ada harapan untuk belajar di menara gading dan STPM akan menjadi tiket
untuk dia tawan menara gading.
“Eh!
Zubir... panjang menungnya, ingat awek
ke?” Tegur Azmi, teman sebilik Zubir di Universiti Malaya.
Teguran Azmi mematikan lamunan
panjangnya. Zubir tersedar daripada lamunan, daripada segala pahit maung yang
dia telah lalui ketika alam remajanya. Dia tersenyum sendiri mendengar sapaan
teman sebiliknya.
“Banyaklah
kau punya awek... siapalah yang nak dekat aku ni, dah lah hensem” balas Zubir sambil berjenaka.
“Piirah...
perasanlah kau ni. Dah! tak payah nak jadi Mat Jenin, sekarang ikut aku kita
pergi warung, kita makan.” Azmi menyahut dengan cara seorang teman rapat.
Jujur Zubir senang dengan sikap
teman sebiliknya. segala kenangan hanya disimpan untuk dijadikan satu pengalaman
yang mengajar dia untuk berubah ke arah kebaikan. Dia yang dulunya hidup tidak
menentu, kini tidak mempeduli tentang masalah keluarga. Sesekali, kata-kata
cikgu menjengah.
“Masalah
mak dan abah, awak tak perlu campur, yang penting awak belajar, dan buktikan
awak boleh jadi lebih baik”
Kata-kata itulah yang dipegang
sehingga kini. Malah sekarang ini merupakan semester terakhir Zubir di
Universiti Malaya, sebagai seorang pelajar yang belajar Kesenian Melayu. Dia
tersenyum sendiri mengenang semula segala masalah yang dilalui
dan
terkadang merindui zaman kanak-kanaknya. Benar pengalaman itu mengajar.
“Ini kisah aku, seorang pelajar
tahun akhir yang dulunya banyak masalah keluarga, yang dulunya sering berpindah
randah penjagaan, berpindah randah sekolah, diajar berdikari mencari wang
sendiri. Segalanya aku telan untuk aku jadikan pengalaman yang mendidik.” Dalam
perjalanannya menuju ke warung bersama Azmi, Zubir bermonolog sendirian di
dalam hatinya.